
Ketika kapalterbang Jepun melalui ruang udara Kota Bharu, Wan bersembunyi di sebalik busut. Wan kata, askar Jepun ni jahat. Kalau di tengah-tengah jalan diorang berselisih dengan orang Melayu lalu disuruhnya orang itu panjat pokok kelapa, maka orang itu mesti panjat. Nasib le...Jepun nak minum kelapa. Kalau Jepun marah, dia akan paksa orang tu minum air sabun lalu dipijak-pijak perut sampai terkeluar balik air sabun tadi.
Wan ada menyimpan sekeping wang kertas Jepun..sapa ntah ambik, dah hilang. Ketika Jepun hampir kalah, berguni-guni wang kertas Jepun terbazir begitu saja kerana ianya sudah tidak laku lagi kerana masa tu British dah mula mengalahkan Jepun. Wan kata, tentera British tidak sejahat Jepun, kerana British cuma merampas kekayaan Tanah Melayu, bukan menyiksa rakyat sepertimana tentera Jepun. Di Pantai Sabak di mana tentera Jepun mendarat, askar-askar Punjab yang mati kena tembak akhirnya dikumpulkan menggunakan bulldozer kerana terlalu ramai, lalu ditanam di dalam lubang beramai-ramai. Masih kuingat ketika di wad hospital tempoh hari, Wan masih mampu berkongsi kisah zaman pendudukan Jepun dengan pesakit seusianya di wad bersebelahan. Kusangkakan Wan sudah sihat masa tu.
Sesudah Wan berkahwin dengan mak, mereka berpindah ke Golok, Thailand kerana pada zaman itu, ramai yang berhijrah ke sana mencari rezeki dengan menoreh getah. Di Tanah Melayu pada zaman itu, hidup sangat susah, maka nak tak nak, terpaksalah berhijrah. Di sana, Wan mendapat kepercayaan menjadi mandur di ladang getah milik seorang Cina yang baik hati. Wan bekerja dengan penuh amanah. Di sana, makan minum sekeluarga kiranya senang sebab gaji Wan sebagai mandur membolehkan Wan hidup selesa bersama anak-anak. Kata mak, di musim hujan, Wan dan rakan-rakannya akan keluar mengutip cendawan setelah hujan reda. Sambil membawa tong kosong, kata mak, Wan berjoget-joget menyanyikan lagu P.Ramlee "Engkau laksana bulannn..." sambil mengetuk tin kosong dan berjalan dengan riang bersama kawan-kawannya.
Namun, kesenangan di sana tidak berpanjangan....lantaran satu peristiwa yang telah menyebabkan Wan membawa keluarganya berpindah semula ke Tanah Melayu....
to be continued...
No comments:
Post a Comment