lap hidung dengan tisu jap..
Aku baru 'berkenalan' dengan Hachiko. Seekor anjing legenda di Jepun yang telah menyentuh hati ramai manusia, yang membuatkan orang masih menangisi kisahnya walaupun setelah hampir 80 tahun berlaku....
Hachiko merupakan seekor anjing baka Akita Inu yang dilahirkan pada 10 November 1923. Ia merupakan seekor anjing yang berwarna oren dan sangat comel.
Pada tahun 1924 ketika berusia 2 bulan, Hachi dibela oleh tuannya yang bernama Prof. Eisaburo Ueno, seorang professor di Universiti Tokyo. Hubungan mereka sangat akrab seperti digambarkan dalam filem Hachiko, lakonan Richard Gere.
Telah menjadi rutin Hachi menemani Ueno daripada rumah ke stesen keretapi Shibuya di Tokyo pada pukul 9 pagi setiap hari kerana Ueno ke tempat kerjanya di Universiti Tokyo dengan menaiki keretapi. Apabila pulang, Hachi akan menunggu tuannya di pagar kaunter tiket pada pukul 6 petang dan pulang bersama. Ini berlarutan selama setahun lebih dan keakraban mereka telah menarik perhatian mereka di sekitar Shibuya.
Stesen keretapi Shibuya
Sejarahnya bermula pada suatu hari dalam bulan Mei 1925 apabila Ueno tidak pulang-pulang seperti kebiasaan, dan Hachi tetap setia menunggu kepulangannya di stesen Shibuya.
Rupa-rupanya Ueno telah diserang strok dan rebah ketika di Universiti dan beliau tidak sempat pulang bertemu Hachi yang setia menunggu.
Tanpa mengetahui yang tuannya telah meninggal dunia, Hachi tetap setia menunggu Ueno dan melilau mencari-cari kelibat Ueno di celah-celah penumpang yang turun dari keretapi, dan ia berlaku setiap hari selama 9 tahun di tempat yang sama. Gerak-geri Hachiko telah menarik perhatian seorang pengkaji anjing baka Akita yang juga merupakan pelajar Ueno. Beliau kemudian telah menulis artikel tentang Hachi. Artikel tersebut diterbitkan di akhbar Asahi di Jepun, menjadikan Hachiko seekor anjing yang menjadi sebutan sebagai anjing yang paling setia. Artikel tersebit bertajuk:
"Anjing Tua Yang Setia Menunggu Kepulangan Tuannya Yang Telah Mati Selama 7 tahun!"
Di atas adalah gambar-gambar sebenar Hachiko yang dirakamkan semasa menunggu tuannya di stesen keretapi Shibuya.
Hachi yang sebelum itu kurang diberi perhatian, lantas menjadi tumpuan selepas ramai yang membaca artikel tersebut lalu ramailah pengunjung stesen tersebut membawa makanan kepadanya sepanjang tempoh dia menunggu tuannya.
Hachi tetap menunggu tuannya sehinggalah ia meninggal dunia di sebuah jalan di Shibuya pada 8 Mac 1935. Jasad Hachi diawetkan dan dipamerkan di National Science Museum of Japan di Ueno, Tokyo.
Setia sungguh Hachi, setia menunggu tuannya hingga ke akhir hayat. Dapat dibayangkan hubungan kasih sayang yang sangat erat diantara Hachi dan Ueno. Sebagai memperingati Hachi, sebuah tugu peringatan iaitu patung yang menyerupai Hachi dibina di luar stesen Shibuya, di tempat yang sama Hachi menunggu tuannya.
Kisah ini memang menyentuh hati, berair mata tengok cerita ni...
kalau kita manusia ni boleh ke setia sampai macam tu?
boleh tengok cerita Hachiko di YouTube.
Kredit to Kakimotong.
boleh juga baca Hachiko
Aku rasa kisah ni bukanlah satu kisah yang sia-sia, betapa hubungan manusia dengan haiwan itu sebenarnya ada bonding yang tidak dapat ditafsirkan untuk kita renung-renungkan.
*******
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Rasulullah bersabda:
الرَّاحمُونَ يَرحمُهُم الرّحمنُ ارْحَموا مَنْ في الأرض يرحمْكُم من في السَّماءِ
"Orang-orang yang yang penuh kasih-sayang akan dikasih-sayangi oleh Allah. Hendaklah kalian semua menyayangi semua yang ada di bumi, agar kalian disayangi oleh para penghuni langit"
No comments:
Post a Comment