Situasi :
Ada beberapa watak, A, B dan C (boleh jadi lebih ramai).
A dan C ada bertelingkah pendapat. Just a small matter. A dan B bercerita perihal tersebut.
B dengan bersungguh-sungguh menyokong A, dan menyebelahinya dalam semua aspek, dan meng'kondem' C yang kononnya tak berlaku adil terhadap A.
Pada satu waktu yang lain,
C juga mengadu kepada B tentang permasalahannya. B juga dengan bersungguh-sungguh menyokong dan menyebelahi C, lalu mengutuk dan meng'kondem' A dengan bermati-matian.
Masing-masing A dan C merasa bahawa B menyokong kedua-dua mereka. Akibatnya, A dan C sangat akrab dengan B, manakala A dengan C masing-masing menjadi saling membenci gara-gara B!
B menjadi pilihan ramai dan dipercayai dan disayangi semua orang kerana dia menyokong mana-mana yang datang kepadanya. WELL!! sebenarnya orang tak selalu datang kepada B, tapi B yang datang mengorek dan mengintip segala rahsia. Benda-benda yang kecil diperbesar-besarkan oleh B, ibarat mengadu domba. Bila pihak D, E etc bersuara, contohnya, D dan E turut mengkondem A yang dikhabarkan buruk oleh B, maka tak lama selepas itu, B akan menyampaikan kepada A bahawa D dan E telah mengutuknya kaw kaw, padahal B yang mula membuka cerita dan mengadu domba! Tetapi yang mendapat nama buruk adalah orang lain.
**********
MENGADU DOMBA /FITNAH (Peringatan Daripada Peristiwa Isra‘ dan Mi‘raj)
(Petikan/
Ringkasan Huraian dari kitab al-Kabaair yang disampaikan oleh Ustaz
Muhamad Naim dalam kuliah di Surau Al-Ansar Rampaisari pada 16 Jun dan
23 Jun 2009)
Mengadu domba merupakan perbuatan yang boleh
mengakibatkan persengketaan dan perbalahan antara dua belah pihak. Sikap
suka menyampaikan cerita atau menyampaikan percakapan satu pihak kepada
pihak yang lain dengan tujuan yang tidak baik sehingga menimbulkan
perasaan tidak senang di hati pihak yang lain, dan akhirnya membawa
kepada perselisihan faham antara kedua belah pihak adalah sama dengan
menabur fitnah.
Dalam peristiwa Isra‘ dan Mi‘raj, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyaksikan segolongan lelaki dan
wanita yang memotong satu potongan daging daripada salah seorang dari
mereka. Kemudian mereka meletakkan potongan daging tersebut pada mulut
salah seorang dari mereka dan berkata kepadanya: “Makanlah sepertimana
yang aku makan”. Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bertanya: “Wahai
Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril ‘alaihisalam menjawab: “Mereka
inilah pengumpat, pencela serta pengadu domba”.
Mengadu domba
adalah maksud dari perkataan Arab an-namimah. An-namimah berasal dari
perkataan an-namma yang bererti mengeluarkan berita dengan tujuan
menghasut.
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiah al-Muyassarah,
an-namimah bermaksud memindahkan atau menyampaikan berita pada orang
lain dengan tujuan yang tidak baik.
Menurut Imam al-Ghazzali
Rahimahullah, perkataan an-namimah pada kebanyakan pendapat adalah
menyampaikan percakapan orang lain kepada orang yang dikatakan. Contoh:
Seseorang berkata kepada seseorang yang lain “ Si Fulan mengatakan
tentang engkau begini begini”.
Contoh ucapan atau kata-kata lain
yang menggambarkan tentang perbuatan mengadu domba, antaranya: “Dia
melakukan begini terhadap hakmu”, “dia merancang untuk merosakkan urusan
kamu”, “dia merancang untuk membantu musuh kamu” atau “dia
memburuk-burukkan tentang hal dirimu”.
Hukum Mengadu Domba
Ulama
bersepakat bahawa mengadu domba termasuk antara dosa-dosa besar. Imam
al-Ghazzali Rahimahullah menyatakan bahawa mengadu domba adalah dilarang
kerana ianya mendedahkan sesuatu perkara yang tidak boleh didedahkan
samada perkara itu tidak disukai oleh orang yang mengatakannya atau
orang yang mendengarnya atau tidak disukai oleh orang yang ketiga (orang
yang dikatakan).
Perbuatan yang dianggap mendedahkan sesuatu
perkara itu adalah samada dengan kata-kata atau dengan tulisan atau
dengan isyarat atau dengan gerak-geri, samada yang disampaikan itu
daripada perbuatan atau percakapan, samada ianya tentang keaiban atau
kekurangan pada diri orang yang dikatakan.
Hakikat mengadu domba
ialah mendedahkan atau membuka rahsia seseorang yang dia sendiri tidak
suka orang lain mengetahuinya. Maka jika seseorang itu melihat sesuatu
perkara (hal ehwal orang lain) hendaklah dia mendiamkan diri sahaja
tanpa perlu menyebarkannya pada orang lain.
Walau bagaimanapun
jika dengan menceritakan sesuatu perkara itu mendatangkan faedah kepada
orang Islam atau dapat mencegah daripada berlakunya maksiat, maka
tidaklah menjadi kesalahan jika dimaklumkan kepada yang lain. Contohnya:
jika dia melihat seseorang mengambil harta orang lain, maka hendaklah
dia menjadi saksi bagi melindungi hak orang yang empunya harta tersebut.
Namun jika tujuan sebaliknya, perkara menceritakan hal atau percakapan
orang lain dianggap sebagai mengadu domba.
Balasan Mengadu Domba
Mengadu
domba merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar kerana perbuatan
ini akan mengakibatkan perkelahian antara dua belah pihak. Maka oleh
kerana itu Allah Subhanahu wa Taala telah menjanjikan balasan azab yang
pedih kepada golongan pengadu domba.
1. Firman Allah Subhanahu wa Taala yang menggambarkan tentang kecelakaan dan penghinaan bagi pengadu domba:
Tafsirnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji.”(Surah Humazah: 1)
Penghinaan,
azab serta kebinasaan dari Allah Subhanahu wa Taala bagi golongan
pencaci dan pengeji. Pencaci dan pengeji menurut Ibnu Abbas Radhiallahu
‘anhu: orang yang suka mengadu domba, merosakkan kasih sayang (sesama
manusia) dan penzalim yang membuka keaiban (orang lain).
2. Firman Allah Subhanahu wa Taala lagi:
Tafsirnya:
“Yang suka mencaci lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk
menjahilkan orang ramai).” (Surah al-Qalam: 11-13)
Maksud ayat di
atas ialah golongan yang suka mencaci dan menyebarkan fitnah untuk
merosakkan orang lain dan ini tergolong di dalam perbuatan mengadu
domba. Golongan ini tidak akan memasuki syurga sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Huzaifah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba”(Hadis riwayat Muslim)
3.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari sahabat, Ibnu Abbas
Radhiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam
berjalan pada suatu tempat lalu mendengar suara dua orang yang sedang
disiksa di dalam kuburnya.
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wassalam bersabda: “Dua orang (yang berada dalam kubur ini)
disiksa, tapi bukan disiksa kerana melakukan dosa besar.”
Baginda
Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya, salah seorang daripada
keduanya itu tidak bersuci dengan bersih setelah berkencing, sementara
yang satu pula berjalan (di kalangan manusia) dengan mengadu
domba”.”(Hadis riwayat al-Bukhari)
Bedasarkan al-Qur’an dan hadis
Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, mengadu domba itu adalah haram dan
neraka adalah tempat mereka sebagai balasan daripada Allah Subhanahu wa
Taala. Adalah menjadi kewajipan kita untuk tidak melakukan perbuatan
tersebut dan menolak jika di datangi oleh golongan yang suka melakukan
sedemikian.
Cara Menolak Jika Didatangi Oleh Pengadu Domba
1)
Jangan mempercayainya, kerana orang yang suka mengadu domba adalah
orang yang fasik. Orang yang fasik ialah orang yang ditolak kesaksiannya
(syahadah). Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
Tafsirnya:
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu
tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan
sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa
yang kamu telah lakukan.”(Surah al-Hujurat: 6)
2) Melarangnya
supaya tidak mengadu domba dan menasihatinya serta mencela perbuatannya
itu sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:
Tafsirnya: “Suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah dari melakukan perbuatan yang mungkar.”(Surah al-Luqman:17)
3)
Hendaklah membenci perbuatan mengadu domba itu kerana Allah Subhanahu
wa Taala. Sesungguhnya perbuatannya itu sangat dibenci oleh Allah
Subhanahu wa Taala. Maka wajib kita membenci perbuatannya sebagaimana
Allah Subhanahu wa Taala membenci perbuatan tersebut.
4) Janganlah bersangka buruk terhadap sesama saudara dalam Islam yang tiada pada ketika itu. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
Tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”(Surah
al-Hujuraat: 12)
5) Tidak perlu memperbesar-besarkan apa yang
disampaikan kepada kamu dengan mengintip atau mencari (keburukan) untuk
memastikan (apa yang disampaikan), sebagaimana firman Allah Subhanahu wa
Taala:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”(Surah al Hujuraat: 12)
6)
Jangan kamu menerima apa yang kamu sendiri tidak suka dan melarang
dari perbuatannya. Dan jangan disampaikan pula cerita tersebut pada yang
lain, contohnya kamu berkata: “Si Fulan memberitahu kepadaku begini”.
Perkara seumpama ini juga dianggap sebagai mengadu domba dan mengumpat.
Maka dalam keadaan ini, kamu sendiri melakukan apa yang kamu sendiri
melarang (orang lain melakukannya).
Peliharalah lidah daripada
melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat, seperti mengadu
domba atau menyebar fitnah kerana ia merosakkan perhubungan sesama
insan. Takutlah terhadap balasan mengadu domba itu. Balasannya adalah
api neraka sebagaimana yang diperlihatkan kepada Nabi Shallallahu
‘alaihi wassalam pada malam Isra‘ dan Mi‘raj.
WALLAHUA'LAM..SELAMAT BERAMAL
No comments:
Post a Comment