Tuesday, April 30, 2013

cameron highland trip


layan aje gambar kat cameron highland beberapa hari yang lalu....
 layannnn

si adik jenis berani, suka adventure. Bukan setakat rama-rama, tokke (spesies salamander) pun dia pernah tangkap dengan tangan :) @ taman rama-rama.

Selalu bawak anak-anak ke nurseri tengok pokok-pokok bunga. Aku kata periuk kera ni jenis yang makan serangga, bila serangga masuk dalam periuk, penutupnya tertutup. Tu pasalla dok belek periuk kera ni, curious sungguh nak tau... kat Mardi Cameron Highland.
Makan jagung @ Ladang Teh Boh Sungai Libis




hai lama tak jumpa!

dah beberapa hari aku nak upload gambar tapi tak dapek, kenapa ntah jadi camni. Guna broadband celcom dan streamyx pun sama aje. Nak tulis takda idea sebab tu aku nak upload gambar aje. Jadi aku kena tulis jugak la entry ni ehhehehe...
amacam dengan suasana pilihanraya sekarang ni?
kalau ikutkan hati aku, mau aje aku tempek bendera parti X kat kereta aku ni ehhehehe, tapi tak mengapalah, yang penting undi tetap undi. Borak dengan kawan-kawan pun pasal politik aje. Kat Fb pun post politik berderet-deret. Aku pun aktif sharing tanpa segan silu ehheheh...I don't care if some people might be offended, I didn't use harsh words or cursing. Clean politic please!

mari la marii....balik mengundiii.....lalallaaa

Thursday, April 25, 2013

Kerana terrlalu handsome!

Bila wajah terlalu handsome dan gorgeous pun menjadi masalah juga, ingatkan senang lenang aje.
Inilah akibatnya apabila being tooo handsome, Omar Borkan Al Gala, seorang photographer dan aktor dari Arab Saudi yang dihalau dari negaranya kerana menyebabkan kaum wanita 'penasaran' bila melihat wajahnya..hehehhe sampai macam tu ye, korang tak caya? perghhhhh handsome siot!!! Macam mana pulak agaknya wajah Nabi Yusuf A.S..hmmm... korang jangan meleleh air liur tau heheh
Borkan Al Gala
Aku tanya habibi tadi, kenapa orang arab ni sangatt la hensemnya, kenapaaa, kenapaaa???? (nada tak puas hati ehehhehe)
habibi cakap, orang arab kat mesir tu terkejar-kejar pompuan malaysia sebab berkenan nak buat bini, oh... camtu pulak ye, taste diorang pesen tu pulak, ingatkan diorang adore pompuan arab aje. Jadi, banggalah jadi pompuan Melayu ye, silap haribulan kena kejar dengan Pak Arab, kaya tu saudagar minyak hehehhe..

Monday, April 22, 2013

Duit selit?

Aku ada terbaca tentang tip seorang usahawan kosmetik tempatan. Pada suatu hari ketika masih muda dan bekerja sebagai seorang kerani, beliau didatangi oleh seorang pakcik yang memberikannya rahsia agar tidak akan jatuh miskin. Kata pakcik itu, simpan sejumlah wang setiap hari dengan melipat dan menyelitkan duit tersebut di dalam ruangan beg yang lain. Maknanya asingkan duit tersebut, jangan diletakkan di ruangan simpanan duit utama. Anda semua pernah tak buat macam ni?
Aku pernah terbuat dan ianya betul-betul telah menyelamatkan aku ketika aku sesak di hujung bulan. Bagi aku, adalah lebih baik jika kita selitkan sejumlah duit ketika gaji baru masuk. Selepas tu, buat-buat 'lupa' yang kita pernah selit duit di celah-celah beg duit kita tu. Aku selalu terrjumpa duit selit bila aku bukak ruangan duit syiling (beg aku ada banyak compartments). Aku juga terrjumpa duit kat poket blazer atau dalam poket seluar, ohhh di saat aku amat memerlukannya, aku terjumpa dan aku pun dah lupa bila aku letak kat situ hehe.. maksud aku kat sini, janganlah menyimpan sebahagian besar duit dalam beg, tapi ini untuk mengelakkan kita berbelanja berlebihan apabila melihatkan duit kita yang masih banyak dalam ruang utama beg duit. Baik kita letak sikit, biar nampak tak ada duit. Sebenarnya, duit selit membantu kita untuk 'menangguh' daripada berbelanja berlebihan, sebab akhir sekali mesti kita akan guna juga. Ia menangguh penggunaan duit berkenaan ke saat yang paling diperlukan. Tapi kalau korang disiplin, boleh aja ambik duit selit tu dan simpan dalam bank. Bagi aku pulak, aku takda masa nak ke bank, aku transfer online (kalau ada duit hehehhe). Gaji aku tak sempat nak tengok semenjak dua menjak nih, sebab dok berbelanja untuk buat baju. Gaji akan datang ni pun aku dah risau dah ni sebab banyak nak guna. Adoihh, duit memang tak pernah cukup.....pun begitu, alhamdulillah, adaaa jugak gaji :)

weekend....

first time masuk ke bendang tokwan kelmarin, best wooo!!!

Friday, April 19, 2013

dah ready?

amacam kome? dah sedia nak mengundi? 2 minggu saja lagi. Hari ni hari penamaan calon. Masing-masing diingatkan supaya menjaga perilaku dan adab. Ada rakan-rakan yang turut memeriahkan hari penamaan calon ini dengan memberi sokongan padu kepada calon yang bertanding. Kalau boleh tengok best jugak ye, tak pernah pulak aku join. Penamaan calon semasa MPP dulu pernahlah ehhehehhe....
Kepada yang nak balik kampung mengundi, beli la tiket segera kalau masih belum beli. Sebenarnya kali ini insyaAllah merupakan kali pertama aku mengundi. Sebelum ni tak dapat mengundi sebab ada beberapa halangan. Sekarang anak pun sudah besar. Takde alasan lagi, kali ni masa untuk aku bertindak!
ohh.. sebenarnya aku nak cerita pasal kebersihan rumah apabila membela kucing.
Bila bela kucing ni, bagi aku, kita kena lebih teliti tentang kebersihan rumah. Kucing tak tau basuh kaki, basuh kencing, camna nak buat tu?
bagi aku, aku kena cuci tempat kencing kucing tu betul-betul. Kucing aku ni asek kencing tempat sama ke kat atas suratkhabar yang dijadikan pelapik kotak. Sementara tunggu dia besar, terpaksa letak dia kat dapur. Jadi aku kena buang kertas tu setiap kali dia kencing (tak sempat nak bubuh pasir). Aku juga kena lap disekitar tempat duduk dia tu sebab selepas kencing mesti dia jalan dengan kaki yang basah dengan air kencing. Kalau aku nampak dia kencing, aku akan basuh kaki dan ekor dia ehhehe, aku juga akan mop lantai rumah ni dengan antiseptik. Kat tempat najis, aku guna sponge untuk cuci, bukan mop. Kalau guna mop nanti tersebar merata rumah pulak najis tu. Bila dah bersih pakai sponge baru aku mop. Untuk bersihkan badan dia, aku lap pakai tisu basah. Oleh kerana aku selalu main dengan dia, aku pastikan yang aku akan tukar pakaian lain bila solat.
Bagi aku, kebersihan kena jaga betul-betul sebab ia boleh menjejaskan ibadat solat kita.  Aku cubalah buat setakat termampu. Bila dah besar kena letak kat luar rumah pulak.

oklah, bye

Wednesday, April 17, 2013

meowww......

Alhamdulillah dah beberapa hari hujan membasahi bumi. Nyaman rasanya bila udara pun jadi sejuk. Rumput pun nampak menghijau dan subur. Aku pulak makin jatuh cinta dengan kucing aku yang aku tukar nama jadi Kitty hehehe...
sebenarnya sehari dua ni aku dok susah hati. Susah hati fikir macam mana aku nak buat dengan kucing ni bila balik kampung, bercuti dan ke mana-mana lah. Aku ingat nak suruh jiran jaga buat sehari dua, tapi aku rasa tak relevan. Nanti menyusahkan orang dan risiko keselamatan kucing aku ni. Jadi kawan aku cadangkan hantar ke rumah jagaan kucing buat sementara. Ada caj dikenakan. Aku tengah dok pilih la nih. Habibi pada asalnya kata nak pegi letak kucing ke tempat asal bila dah besar, uhh jangan harap lah sebab aku dah sayang kat Kitty ni, bela dari kecik tiba-tiba nak buang pulak. Kawan aku kata, rezeki ni, bela je lah. Aku memang percaya, haiwan peliharaan ni pun bawa rezeki. Alhamdulillah ada jalan untuk aku selesaikan masalah mencari pengasuh kucing hehehe...
Aku jugak dah sebulan lebih ternanti-nanti keputusan temuduga F41 (Pegawai IT) di sebuah IPTA baru-baru ini. Setiap hari aku balik tengok peti surat takda apa-apa pun. Ke dah out aku pun tak pasti. Aku tawakkal aje. Masa interview tu usaha sungguh-sungguh dah, fight dengan candidates lain dan rasa confident dah. Aku redha aje keputusannya, cuma dah jadi tabiat aku tetap tertunggu-tunggu sebarang panggilan. Aku pegi interview tu tanpa kabel, main hentam aje. Aku harap diorang telus. Kalau aku tak layak, asalkan diorang uruskan temuduga tu dengan telus aku tak marah. Tapi kalau tak telus pun, siapa aku nak marah huhuuuu...
insyaAllah kalau ada rezeki, tak kemana walaupun dan sebulan lebih. Hidup mesti diteruskan. Janji dah ada kerja..

Sunday, April 14, 2013

canned food only

sorry kitty, tak sempat nak masak, I got a flu,
this is for you muahh

Friday, April 12, 2013

anak angkat!


Ohhh.. risaunyaaaa....
anak angkat aku ni keseorangan kat rumah sekarang ni. Dalam kotak dah aku bubuh makanan Whiskas iaitu pes ikan tuna. Aku harap anak kucing ni boleh survive.
Kelmarin habibi dan anak-anak bawak balik seekor anak kucing. Kata habibi, dah beberapa hari dia tengok anak kucing ini kat ofis. Yatim piatu rasanya. Dan habibi dok bagi dia minum susu selama beberapa hari. Jadi, sebab kesian diorang bawak balik ke rumah. Semalam aku bagi dia makan pes tuna, dia makan dengan lahapnya. Kelaparan dah banyak hari tak jumpa susu ibu. Mujurlah dia nak makan.
Aku tak sabar nak balik rumah tengok ni. Macam nak balik tengok anak kecik pulak.
Sejak kecik aku dah biasa dok bela kucing dan tupai. Jadi aku pun suka sebenarnya kucing ni. Cuma yang tak syok dia kucing tu mati nanti aku sedih huhuhuu...
Budak-budak ni bagi nama macam-macam. Semalam dia suggest nama Mirai (watak Ultraman).
Nak balik tengok Mirai ni.. bye

Wednesday, April 10, 2013

mari lah mariiii....... pergi mengundiiiiii.....

amacam dah ready ke nak mengundi? 5.5.13! Tarikh bersejarah tu.
bila bukak TV atau baca suratkhabar, hampir seluruh isi kandungannya adalah pasal politik. Uwekkk naik muak aku disajikan berita yang sama ni.
Kalau bersembang bab politik ni, silap haribulan boleh bertegang urat, bermasam muka.
Teringat aku pada suatu masa dahulu ketika aku masih bersekolah menengah. Ketika itu di waktu petang, jiran datang bersembang-sembang dengan Wan kesayanganku.
Biasalah, mesti bercerita pasal politik. Aku suka bila Wan bercakap, sebab orang akan beri perhatian penuh kepadanya.
Kata Wan sambil duduk dikerusi kegemarannya,

"Macam mancis ni lah (lighter), orang lain kata tak comey, tapi kita kata comey." Kata Wan sambil menunjukkan sebuah lighter berwarna kuning.

Wan mengibaratkan memilih parti politik sama seperti kita melihat sesuatu benda, yang bagi sesetengah orang benda itu cantik, bagi orang lain pulak tak cantik. Jadi ianya adalah subjektif dan individu mempunyai pandangan yang berbeza.
Jadi, janganlah bergaduh. Berpada-padalah bila bercakap pasal politik. Sebab bila berlainan parti politik, takkan jumpa kesudahan pun kalau berbahas bagai nak rak, sebab setiap orang akan tetap mempertahankan pendirian masing-masing. Kita negara demokrasi. Terpulanglah nak undi siapa. Kalau yang kita undi tu baik, kita kongsi bersama, sebaliknya kalau yang diundi tu tak baik, kan dapat dosa...wallahualam...
hoh betapa neutralnya aku menulis hahahha...

 (psssst... undi adalah rahsia)

Monday, April 8, 2013

4 liter sehari?

Berapa banyak air yang harus kita minum setiap hari?
aku ingatkan 8 gelas sehari, tapi melalui pakcik google, aku baca diorang kata kena minum air ikut formula ni:

(40 x berat badan)+ 500ml
 cth: 40 x 40kg + 500ml = 2100ml sehari.

dan ini pulak dari blog Kevin Zahri :

Keperluan air bergantung kepada:
  1. Aktiviti. Contoh kalau bersukan of coz lebih air.
  2. Cuaca. Kalau lembab panas, lebih air.
  3. Diet. Kalau banyak fiber atau makanan bergaram, keperlukan air meningkat. Kalau banyak minum caffeine pun, keperluan air lebih.
  4. Keadaan. Kalau pregnant, of course lebih air.
  5. Dan lain-lain, termasuklah berat badan, otot, jantina etc.
Keperluan air bukanlah statik tapi sememangnya dynamik.
Jadi camana nak tahu cukup air atau kurang?
Warna kencing! Kalau kekuningan maka kurang air. Kalau jernih, ok!



Aku ada bersembang dengan seorang nurse yang bekerja di tempat yang sama dengan aku. Katanya, kita kena minum 4 liter air kosong sehari.
Mak aii 4 liter. Maunya muntah aku dibuatnya.
Aku minum air takde la banyak sangat sebab bila duduk dalam aircond jadi kurang haus. Bila aku dengar nasihat nurse tu, terus aku beli beberapa botol air mineral dan minum tak kira masa.
Nurse tu cakap, air tu ubat segala penyakit. Seseorang tu insyaAllah takkan kena darah tinggi kalau minum air dengan banyak. Bila minum banyak air, badan kita akan flush away segala bahan buangan dan toksik. Menjadikan badan kita bersih dan segar. Kulit juga akan jadi lembap. Aku paksa diri untuk minum, dan jadi kerap jugalah aku ke tandas. Tapi aku rasa kulit aku lebih moist bila minum air banyak. Aku terpengaruh dengan nurse tu yang mempunya stok air mineral berkotak-kotak di dalam biliknya. Walaupun usianya 50-an, tapi kulitnya sangat putih dan licin walaupun dah berkedut. Di samping tu dia menunjukkan kepada aku sebuah tong plastik di tepi mejanya. Di dalam tong itu mengandungi balang-balang yang berisi madu lebah, bijirin oat, almond, cashew nut, susu tepung, habbatus sauda dan daun camomile yang di blend. Kata nurse tu, dia consume segala makanan tersebut di tempat kerja, sebab bila dah balik ke rumah memang tak sempat. Dan dia juga kata penting untuk makan minyak ikan cod. Selain tu dia consume evening primrose oil dan macam-macam vitamin lagi lah dengan kosnya sebulan RM400. Uihh kopak aku kalau habih 400 hengget buat beli vitamin. Aku ada bertanyakan dia tentang jamu. Katanya dia tak percaya jamu. Lebih baik makan sayuran hijau dan buat senaman Kegel untuk senaman otot peranakan.
Nak jaga kesihatan ni kena rajin dan juga buat pelaburan sikit. Oleh kerana kita ni mengejar masa dan tak larat nak telan sayur dan buah-buahan setiap hari, nak tak nak kena la makan vitamin atau makanan tambahan yang lain.
ohh betul kata nurse tu, memang kena bawak stok supplement ke tempat kerja. Bila kat rumah, takkan nak telan semuanya dalam satu masa sebelum tidur. Memang termuntah aku dibuatnya. Tapi kena rajin..... dan usaha. Buat masa ni aku dok minum air setiap masa la. Kena ada keazaman yang kuat ni, kalau tak nanti jadi warm warm chicken shit lah heheheh....

huarghh... ngantuk dah...
tadi sterika baju untuk seminggu. Aku masuk sterika kat bilik aircond baru la tak stress sebab cuaca yang panas sekarang ni. Aku tak boleh bayangkan kalau tak pasang aircond kat rumah ni, memang berpeluh-peluh la. Kalau rumah kayu lain cerita la.
Ok goodnight,
minum air banyak-banyak ni tak larat bangun pi toilet la pulakk........

Friday, April 5, 2013

Wednesday, April 3, 2013

Good night Zzzzz....

hari ni balik kerja lewat, pukul 9.35 baru sampai ke rumah. Takut jugak aku masa nak balik sebab jalan tu gelap, tapi mujurla ada banyak kereta. Dulu tak biasa drive malam, sekarang ni kena biasakan sebab kerap jugak balik lewat, dan kerap kerja weekend.
Alhamdulillah, aku dan kawan-kawan dapat rezeki baru, semua jawatan kami sekarang bertaraf tetap. Dah tak risau pasal kontrak habis. Lepas tu dapat elaun kritikal. Kalau kerja weekend, dapat $$$$, alhamdulillah rezeki tuhhh.... cuma aku akan mencuba untuk masuk gomen, cuba dan cuba lagi yeargghhhh!!!!
balik ke rumah tadi, makan nasik yang habibi beli, lepas tu mandi. Teruk betul rasa seharian tak mandi, dah macam kambing gurun aku rasa.
Lepas mandi, angkat kain yang disidai pagi tadi lepas tu basuh kain lain pulak. Aku basuh kain hampir setiap hari. Nak lipat kain tak larat dah weh malam  ni. Aku ingat nak tido dah tapi kena makan pure marine collagen dulu. Aku telan lepas tu minum air. Buleh tercekik ni sebab aku telan satu sudu agar-agar PMC tu terus ke dalam mulut tanpa kunyah. Aku telan beberapa sudu. Lepas tu telan pati delima pulak. Vitamin C telan pagi tadi. Sejak makan pati delima ni aku stop telan jamu. Banyak sangat telan kang jadi toksik dan keracunan pulak. Makan macam-macam jenis, kalau huduh jugak tak tau lah kuang kuanggg!!! Lepas ni nak tepek serum safi rania gold pulak. Semalam dah lulur bedak rambai. My skin berada pada keadaan yang baik sekarang, my health too. Kawan aku cakap, tak baik takut tua. Takutla, nanti muka kerepot. At least nak bagi slow down la kadar penuaan tu. Umur dah nak masuk 31, kalau makin tua makin huduh kang merana laki beta wuwuwuuu.... tapi yang penting nakkan kesihatan yang baik la. Supaya boleh jalani hidup dengan baik, boleh layan family dengan baik. Kalau muda-muda dah sakit lutut sakit urat, camna nak bergerak dengan aktif. Anak-anak aku jugak dah besar dan aktif, camna nak beranak lagik kalau dah tak larat, teringin jugak ni heeeee..... tapi camna nak beranak kalau aku masih buat family planning ehehhe, insyaAllah sooner or later...
wahhh meleret pulak entry nih, sekadar bebelan sebelum tidur.
esok dan lusa ada lawatan kat tempat kerja, kena bersedia. Ohh... aku tak takut pun, dah biasa mengadap gaya the apprentice Donald Trumph tuu...
byeee

Tuesday, April 2, 2013

Abil, satu salam sejuta..

Tadi baca paper, Puan Fauziah yang terlantar sakit saraf dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh suaminya, Abil, akhirnya kembali ke rahmatullah. Abil menjadi perhatian masyarakat kerana sanggup berhenti kerja sebagai perunding kewangan di institusi kewangan di Kuala Lumpur selama 11 tahun, semata-mata untuk menjaga isteri yang amat disayanginya. Setelah hampir 2 tahun menjaga isterinya dengan penuh kesabaran, akhirnya isterinya pergi jua menghadap Ilahi.
Aku kagum dengan Abil yang sangat menyayangi isterinya, yang secara mental dan fizikalnya sudah tidak seperti dulu. Hanya terlantar seperti bayi tidak mampu berbuat apa-apa. Kata Abil, isterinya sudah tidak mempunyai akal, namun masih mempunyai perasaan. Abil berkongsi kisah sehariannya di blog ini http://abil4fauziah.blogspot.com . Bagi Abil, Fauziah sangat istimewa baginya dan dia menyebut isterinya sebagai isteri yang sangat-sangat baik Terharu aku dengan perngorbanan Abil, mana nak cari suami macam ni. Kebanyakan yang kita dengar, suami akan lari tinggalkan isterinya yang sakit terlantar macam tu. Lari mendapatkan kehidupan yang lebih senang, membiarkan isterinya di rumah ibubapanya. Aku tabik pada Abil. Semoga Allah merahmatinya kerana kesabarannya menghadapi ujian yang berat ini ketika usia perkahwinan baru mencecah 2 tahun.
You are one in a million.

Boleh tengok rancangan Soal Wanita bersama Abil http://www.youtube.com/watch?v=AFKwwLq0BnI

rindu padanya..

rindunya kat Wan,
agak-agak, Wan tengah buat apa ye?
aku doakan Wan sentiasa di bawah lindungan Allah, sentiasa berada dalam rahmat-Nya.
lagi 3 bulan, genaplah 2 tahun Wan pergi. Rindu sungguh rasanya. Dah lama aku tak tatap gambarnya lama-lama. Bila aku tatap, rindu semakin bersarang di hati. Dah lama mak tak duduk kat rumahnya kat kampung. Dah beberapa minggu rumah itu kosong. Sedihnya.
Aku tidak pernah jemu doakan Wan.
Al-Fatihah...