Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Friday, March 16, 2012

Berani kerana salah...

Dulu aku belajar matrik kat Perak, kat pedalaman dikelilingi kelapa sawit.
Dalam matrik tu kemudahan sangat terhad, makanan pun tak ada pilihan. Maka selalulah berlakunya 'pemberontakan' dan 'tunjuk perasaan' terhadap pengurusan kerana pelajar merasakan haknya tidak disempurnakan.

Dan kami juga membawa barang-barang elektrik secara haram seperti periuk nasi. Masa tu desperate. Bila ada periuk nasi, boleh masak nasi dan goreng telur. Boleh jimat duit sebab makanan kat cafe mahal dan tak memuaskan.

Dalam keadaan tertekan tu, lecturer juga kerap mengadakan spotcheck untuk merampas barang letrik pelajar yang dibawa secara haram. Walaupun ia disorok dan disembunyikan dalam tong sampah, kadang-kadang kantoi jua.

Masa tu kami macam budak-budak asrama sekolah, kena turun prep dan spotcheck diadakan dari semasa ke semasa.

Aku dan kawan-kawan di bilik 306 tingkat 2, masa tu sepakat tak mau turun prep, semua nak lepak dalam bilik. Masa tu kami dah standby kalau ada spotcheck kami akan tutup lampu dan sembunyi bawah katil. Dan memang betul ada spotcheck! Bila dengar je suara lecturer on duty menaiki anak tangga sambil membawa segugus anak kunci, kami semua macam lipas kudung terus lari bersembunyi di bawah katil sambil bersesak-sesak. Kat dorm aku ada 4 katil double decker, dan bayangkan 8 orang bersesak-sesak bawah katil yang paling hujung. Masih kuingat masa tu, terpaksa menahan panas dan menyedut habuk bawah katil, sambil menahan bunyi katil yang bergoyang-goyang.

"Wei jangan bergerak wei..katil goyang!!"
"dok diam-diam!!!!"
"diorang naik dahh...syhh diamm!!"

Dan setelah beberapa ketika bersembunyi, aku terdengar Cik X bersorak dan bertepuk tangan bila menjumpai barangan elektrik di bilik sebelah. Di bilik kami, mereka hanya membuka pintu, dan bila melihat keadaan bilik gelap, mereka terus pergi. Diorang tak tau kami nak mampuih dah bawah katil masa tu.

Dan.. aku telah membuat kesimpulan bahawa lecturer telah mengambil barang elektrik tu untuk mereka sebab mereka bersorak seperti yang aku dengari.

Dan selepas kejadian tu, kami semua tak puas hati sebab barang elektrik dirampas.
"Aku dengar cik X bersorak, aku rasa diorang ambik barang letrik tu!" kataku tanpa ragu..

akhirnya cerita itu sampai ke pengetahuan cik X dan dia sangat marah di dalam kelas. Katanya,
"Saya takkan maafkan orang yang kata macam tu selagi dia tak datang mintak maaf kat saya!Macamla kami ni ta ada gaji (nak ambik barang elektrik)." marahnya... erkkk.... tersirap darah aku.... sahih memang datang dari mulut aku!

Dan kata-kata itu terngiang-ngiang di kepala aku selama 12 tahun!! Walaupun kami students ada meminta maaf secara general kepada lecturer, tapi aku rasa bersalah selagi tak minta maaf secara specifik pada cik X...hah nak mampus kau??

Ntah camna la beberapa hari lalu aku search nama cik X kat Facebook dan menjumpai namanya. Lalu aku dengan selamba badaknya telah menceritakan perkara tersebut berhubung dakwaan yang tidak benar yang telah aku lemparkan kepada lecturer terutamanya cik X.

Jeng jeng jeng!!! as expected she was really pissed off, dan sangat kecik hati dengan aku (dia masih ingat aku). Heee ngeri aku membaca mesejnya. Tapi demi sebuah kemaafan yang aku cari selama 12 tahun, aku terima semua yang dikatakannya. Memang salah aku sebab tuduh dia macam tu. Tapi on my side, sebagai student yang tertekan dengan keadaan kolej masa tu, aku rasa dia boleh memaafkan aku yang masa tu berumur 18 tahun dan masih belum matang. Bukan aku sorang, semua students anti dengan pengurusan kolej.

Tapi syukur alhamdulillah, dia maafkan aku. Itu yang paling penting.
Bukan senang nak minta maaf dalam perkara tertentu...
ya, boleh minta maaf secara general..
tapi kalau nak sebut satu-satu secara spesifik.. haih memang cari nahas! dan memang aku dah cari nahas pun... syukur dah settle walaupun cik X marah benar padaku...

moralnya, berhati-hati dalam berkata-kata, kerana kadang-kadang tanpa disedari apa yang kita kata itu menyakitkan hati orang lain secara dalam. Dalam kes ni, aku menuduhnya melakukan perkara yang tidak benar... (uhh... ngeri nak sebut fitnah).. but keadaan masa tu harus difahami juga. Ramai yang merasa tertindas.

Pheww lega...
ini baru satu kesalahan yang aku ingat...
entah berapa banyak kali kesalahan yang aku ingat-ingat lupa.. maklumlah mulut ni kadang-kadang takde brek!
semoga Allah ampunkan aku... amin...

Sunday, January 29, 2012

From kedai lalat with love

Bukan nak tunjuk budak baju putih ni, tapi kedai kopi kat belakang. I spotted Wan sitting there on 4th February last year

Ini namanya budu kampung.. ada berani?

Mak pesan kelapa, sebiji RM1.30

Lorong ikan kering

Doroyan...


Bangunan kedai yang baru dibina...

27 Januari lalu, pada hari Jumaat, aku ke Kedai Lalat / Pasar Kota Jembal dekat dengan Kampung Pulau Melaka (Dekat rumah Tuan Guru Hj. Nik Aziz).

Kunjungan aku ke sana adalah setelah hampir setahun sejak aku mengunjunginya bersama arwah Wan tercinta, iaitu pada 4 Februari 2011. Pada Jun 2011 aku ke sana tapi dengan mak, sebab Wan sudah tak larat nak ikut.

Lainnya rasa kali ni, bercampur sedih serta sayu, sebab it has been his favourite place during his lifetime. Kedai Lalat sinonim sangat dengan Wan. Selepas Wan pergi, aku dan mak belum berkesempatan ke sana. Baru-baru ni aku pergi tanpa Mak sebab she wasn't well. Hati jadi tak begitu teruja, hilang tarikannya tanpa Wan. Kalau dulu-dulu, Wan ke sana dengan menaiki motosikalnya sahaja. Bila dah uzur, anak-anak membawanya dengan menaiki kereta.

Kalau tanya adik beradik aku, mereka akan kata sedih ke Kedai Lalat sebab Wan dah tak ada.
I miss those moments so much.

Tuesday, January 17, 2012

surat lama yang mengimbau....

Oleh kerana aku telah mengambil EL pada hari Isnin lepas, maka aku kena membuat surat yang menyatakan sebab musabab mengapa aku mengambil EL tersebut. Sambil-sambil dok tengok surat-surat lama dalam laptop aku ni, aku terjumpa surat EL yang aku ambil pada tahun 2010. Masa tu Wan masih ada, dan aku pulang untuk menjenguknya yang sakit. Waktu itu jugalah adalah kali pertama aku tinggalkan anak-anak dan balik kampung seorang diri dengan menaiki bas. Oleh kerana aku dah tak ada cuti, maka aku mintak unpaid leave.

Masa tu, selepas sakit Wan sembuh balik. Dan seperti selalu, ia merupakan saat yang mendebarkan bila Wan atau mak sakit dan harapan untuk sembuh sentiasa ada. Tapi 6 bulan kemudian, harapan untuk pulih sudah tiada lagi. Bila alat bantuan pernafasan ditanggalkan, that was the scariest part. Wan sudah sangat kritikal masa tu, kami terpaksa melepaskannya pergi, dan bayangan di mana Wan terpaksa bernafas sendiri selepas alat itu ditanggalkan membuatkan air mataku mengalir. He wasn't able to breath on his own, he had to struggle on his own, painful, and till his last breath. Sad......but true...

Pagi tadi masa aku buka facebook, mantan ajk kelab yang pernah aku sertai di UKM telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi untuk merawat barah paru-paru tahap 3. Sebelum itu dia dimasukkan ke wad Bendahara tingkat 4. Wad yang sama yang mengimbau kenangan aku menjaga Wan di hujung hayatnya. Wad bendahara tu kiranya kes berat juga. Lebih-lebih lagi bila duduk depan meja misi. Kat situ semuanya kes sakit paru-paru. Mantan ajk tersebut asalnya hanya batuk-batuk, bila check terus dapat tahu kanser tahap 3!! Boleh anda bayangkan???

Dan aku dapat bayangkan bagaimana dia menderita tidak dapat bernafas, sebab aku dah tengok bagaimana Wan menghadapinya. Remuk hati aku. Batuk siang malam dan tidak dapat tidur selama berminggu-minggu. Aku yang bila selsema teruk pun masih boleh bernafas melalui mulut, inikan pula paru-paru yang memang dah tak boleh serap oksigen. Seksa! Itu saja yang mampu kuungkapkan.

Tahun 2010 juga aku kehilangan bekas rakan sepejabat di sini. Usianya masih muda. Lebih muda daripada aku. Juga mengidap kanser paru-paru. Masih kuingat ketika melawatnya di hospital. Terdapat sebalang air yang keluar daripada paru-parunya melalui lubang yang ditebuk di dadanya. Bila dia makan rojak yang diminta kami membelinya, nampak seksa sekali dia mahu menelannya. Begitu juga bila dia mahu meneguk air jagung kegemarannya. Sambil menahan kesakitan, dia meneguk air tersebut. Dia merupakan satu-satunya harapan keluarganya yang merupakan orang susah. Ibu bapanya merupakan penoreh getah, dengan rumah yang usang di pinggir ladang getah. Dia merupakan satu-satunya anak yang dapat masuk ke universiti. Dia berhenti kerja di sini setelah mendapat tawaran mengikuti Diploma Perguruan Lepasan Ijazah. Masih kuingat wajahnya yang keriangan bila mendapat tahu berita tersebut. Katanya, begitu susah sekali untuk dia mendapat peluang tersebut. Sudah banyak kali dipohon dan akhirnya entah kali keberapa, baru berjaya. Niatnya untuk membantu keluarga.

Tapi siapa sangka, setelah tamat pengajian tersebut dan semasa menunggu posting, Allah mengambilnya pergi. Allah Maha Mengetahui di sebalik rencanaNya.

Andai dengan segala derita ini Engkau ingin menghapuskan segala dosa-dosaku, alangkah ringannya penderitaan ini. Andai dengan derita ini Engkau ingin selamatkan aku dari neraka-Mu dan memasukkan aku kedalam syurga-Mu yang kekal abadi..alangkah indahnya penderitaan ini

Tuesday, November 1, 2011

Musim banjir kembali?

24-26 Disember ini dijangka akan berlaku banjir besar terutamanya di sebelah pantai timur. Ini kerana air pasang besar dijangka akan berlaku, ditambah-tambah pula memang musim tengkujuh waktu tu. Dan seperti selalu, musim tengkujuh membangkitkan nostalgia ketika aku kecil di kampung. Setiap tahun memang kami akan mengharung banjir, cuma kami bernasib baik sebab rumah di kampung tak pernah dinaiki air. Air di tali air melimpah hingga ke belakang rumah tapi tak pernah la kampung kami tenggelam, lebih-lebih lagi setelah tali air baru telah dibina pada tahun 1992. Sebelum tu memang kami akan bermain dan menyelam dalam air banjir la, sebab untuk ke kedai Wan kami kena merentasi sebuah padang kecil. Kat padang tu la penuh dengan air. Kadang-kadang kami buat rakit dan basikal diangkt diatasnya. Padahal ada je jalan alternatif yang tak tenggelam banjir, saja nak seronok-seronok. Yang paling syok adalah menangkap anak-anak ikan yang melompat-lompat hingga ke atas jalan.

Masih terbayang Wan mengayuh basikal tuanya sambil sebelah tangan memegang payung. Kadang-kadang Wan memakai baju hujan dengan but paras lutut ala-ala Phua Chu Kang, cuma warnanya kelabu je. Wan pernah membelikan but untuk aku dan abang. Warnanya biru. Weekened lepas ketika membeli joran di sebuah kedai cina, aku ternampak sepasang but kanak-kanak berwarna biru lalu kataku pada hubby, aku nak belikan untuk budak-budak ni, tapi masa tu tak rancang pun jadi kami tak beli. Lepas ni nak beli lah kat diorang, biar diorang pakai kat bendang tokwan nanti. Aku nak bagi diorang rasa main lumpur hehehe. Tak seronokla alam kanak-kanak zaman sekarang kalau asyik main kat playground je, tak real!

Musim banjir juga adalah di mana ikan kering goreng menjadi pilihan untuk dimakan bersama nasi yang panas..yum yum!!!! Tidak ketinggalan, Wan akan membeli pelbagai jenis ubi untuk direbus dan dimakan panas-panas. Wan suka makan ubi badak. Nostalgianya..huhuuuu......rindula nak merasa musim tengkujuh di kampung, dah masuk 6 tahun aku tak merasa. Wan akan mengenakan baju sejuknya dan menonton tv. Rindula kat Wan. Ada tak caranya aku nak jumpa Wan? ( start asking impossible thing!)

Dalam hidup ini kita mesti berhadapan dengan kehilangan, walaupun pahit, nak buat macam mana kan, that's life! Kita pasti akan berhadapan dengan kehilangan orang yang tersayang, sebabnya? Sebab kita ini milik Allah, dan mereka disekeliling kita termasuklah kita sendiri ni Allah bagi pinjam sekejap je, untuk kita berbuat baik padanya.

Life is short....live life to the fullest.......

Thursday, August 18, 2011

raya dahulu..raya sekarang??

ketika bersembang dengan kawan-kawan, macam-macam cerita yang keluar ketika zaman kecik-kecik...betapa rindunya suasana ketika kecik.....

daripada cerita pasal makan-makan di bulan puasa, persiapan raya, aktiviti di hari raya dan selepas raya....

begitu juga perihal kanak-kanak zaman sekarang yang lebih banyak meluangkan masa menonton televisyen berbanding zaman dulu-dulu di mana kami semua berjalan ke serata tempat berhari raya...

anak-anak zaman sekarang? Bukan nak kenal sangat pun dengan sepupu sepapat, saudara mara, makcik pakcik, maklang paklang etc...bila berjumpa di hari raya boleh buat tak tahuuu je!!! Bila jumpa atuk dan nenek, seolah-olah macam jumpa jiran di hujung kampung sebelah!! Tak ada pun perasaan kasih dan sayang..tiada pun rasa belas dan ihsan....poor!

bila ada orang datang beraya, cuma salam dan terus mengadap tv, bukan nak salahkan diorang saja, mak bapak la yang ajar macam tu....so blame their parents because mereka yang didik anak jadi macam tu sejak kecik....(geleng-geleng kepala sambil dahi berkerut..ish..ish...)..

Cerita pasal persiapan raya ketika kecik pulak....

korang perasan tak kat kedai kasut Bata...ada sejenis selipar yang tapaknya leper seperti sekeping getah...warnanya coklat dengan bahagian atas kaler merah atau coklat....
selipar ni klasik gila, sejak aku kecik-kecik dah ada dah.

Ketika aku masih kecil, ketika dekat-dekat nak raya, Wan akan memanggil aku dan abang aku...
Wan minta kami hulurkan sebelah kaki lalu Wan ukur dengan menggunakan tali rafia...lalu tali rafia dipotong mengikut ukuran tadi. Tali itu Wan simpan ke dalam poketnya...lalu Wan mengayuh basikal tuanya menuju ke bandar Kota Bharu.

Di kedai Bata, Wan membelikan kami selipar tadi mengikut ukuran tali yang dibawanya. Wan berbuat demikian kerana mana mungkin nak bawa kami semua menaiki basikal tuanya. Wan bukannya ada kereta. Hanya basikal tua yang menjadi kenderaan Wan apabila ingin ke pasar.

Bila pulang, Wan membawa selipar baru dan menghadiahkan kepada kami. Bukan main seronok dapat selipar baru, selipar raya!!!! Kat dalam rumah pun aku pakai sebelum di bawa turun ke tanah. Bila sehari sebelum raya, sekali lagi Wan akan ke pasar siti Khadijah dan membeli barang mentah seperti ayam, daging dan sebagainya. Masih kuingat Wan menyangkut plastik ayam di handle basikal kiri dan kanan, di samping barangan lain yang diikat di tempat duduk belakang. Wan masih kuat ketika itu....mengayuh basikal sahaja melalui jalan paya di belakang kampung. Rasanya umur aku ketika tu dalam 4,5 tahun sebab aku dah boleh ingat suasana ketika itu, di mana ketika pulang, aku akan mengekori Wan yang mengayuh basikalnya sampai ke depan rumah. Kadang-kadang Wan belikanku kacang kuda rebus.

Zaman sekarang ni bukan boleh naik basikal macam dulu, jalan sangat sibuk dengan kenderaan serta jalan-jalan pun makin bersimpang siur, bangunan semakin banyak...sesakkk!!! Bahaya kalau naik basikal. Bila abangku membelikan kereta Nissan Sunny warna kelabu, Wan senang sikit sebab boleh mengajak abangku ke kedai dan of course, aku akan mengekori hehee.....kalau tak silap aku, start naik kereta tu masa aku darjah tiga.

Wan memang suka ke pasar. Habis di round nya satu pasar tu sehingga dapat barang yang dia betul-betul berkenan dan murah. Wan memang cekap tawar menawar. Dia takkan beli kalau peniaga tu tak bagi harga yang diminta. Aku pulak jenis tak pandai tawar.

Wan cukup seronok apabila anak-anaknya pakat berkumpul dekat-dekat nak raya. Dia memang seronok bila semua pakat nak cucuk sate ramai-ramai. Bab beli bahan-bahan mentah, serah je kat Wan. Abangku hanya perlu jadi driver je. Wan tahu kat mana nak dapatkan daging lembu tempatan yang terbaik. Abang aku hanya jadi tukang bawak barang je. Sebelum ni, acara menyucuk sate merupakan tradisi keluarga aku. Malam raya kami akan pakat-pakat bakar sate. 50% sate habis di makan malam tu jugak huhuuu....

Bila semua dah kawen dan beranak pinak, dah jarang sangat buat sate. Masing-masing kalut dengan anak-anak kecik. Lagipun diorang prefer beli.. ( lalu aku menghantar sms kepada abang aku mengusulkan cadangan membakar sate tahun ini..teett...tett...) .Aku rasa aktiviti ini patut dihidupkan kembali untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Mak pun tentu seronok apabila mendengar suara riuh rendah. Mak aku tak larat nak buat dah, hanya boleh jadi instructor je. Dan aku plan nak masak soto Johor pakai perencah ORI tu.....senang sebab makanan berkuah ni sekali buat je, letak je atas meja...hmmm...idea menarikkk!!!! Dan untuk minuman pula, kawan aku cadang aku letak je botol-botol air 100 plus ke, Sarsi ke apa-apa la, kat atas meja. Then the kids will choose the flavour they want. I knoww...i knowww.....air gas tak elok...tapi untuk raya ni je ok kan heheee.....

Masa raya tahun 2009 ketika giliran aku balik kampung KB, aku beli pinggan kertas untuk bubuh makanan. Pinggan kertas hanya sesuai untuk makanan kering je, kalau sup-sup ni kena basuh pinggan mangkuk jugak la sebab aku tak suka pakai bekas polisterine. Raya kali ni aku lapang sikit sebab anak-anak aku dah besar. Sebelum ni yang kecik masih bertempek kat aku. So banyak benda yang aku boleh buat kali ni. (abang aku reply sms dia kata ok je nak buat sate...so..ok la macam tu!)

Hmmm...bab baju raya aku tak kisah pun...aku tak excited bab pakai-pakai ni, yang paling penting bab makan-makan nanti. Plannya esok nak ke Alor Star tengok baju budak-budak dan baju mak bapak budak. Tahun lepas boleh beli untuk mak dan Wan..tapi tahun ni untuk Mak sorang je..hmmm....Tadi masa aku telefon mak, dia tanya aku nak balik bila sebab dia kata nak naik kereta jalan-jalan ngan aku hehee.....ok...no problem mak! InsyaAllah aku balik hari Sabtu depan dan return on Thursday or Friday.

Walau apa pun aktiviti yang dirancang pada raya kali ini......terdapat satu venue baru yang akan dilakar dalam senarai aktiviti kami.....iaitu........pusara Wan.....dalam pada kami menyambut hari raya, kami takkan lupa pada Wan yang telah meninggalkan kami.....Wan tidak dapat bersama kami lagi pada pagi raya kali ini...dan sebenarnya feeling nak raya tu bukan ada sangat pun, tanpa Wan yang excited ke pasar membeli barangan keperluan raya.....Wan yang excited mencuba baju raya hadiah anak-anak....

aduhh...pahit kurasakan di pagi itu nanti.....tahun lepas Wan bersama-sama kami makan sate selepas solat hari raya....tapi tahun ini, selepas mengerjakan solat raya, kami akan terus ke pusara Wan.....segalanya sudah tidak sama seperti dulu....Wan..aku rindu Wan...aku sayang gila kat Wan...you are the best father in the whole world! How much I miss you!

Ketika bersembang dengan kawan-kawanku tadi...kata kawanku..
"Bapak mertua aku suka makan kuih....kalau beli biskut raya tu habih kat dia la..."

lalu aku mencelah...

"ohh..ayahku suka makan sate di pagi raya....tak suka kueh..".aku terlupa akan hakikatnya...
"eh...arwah ayah aku....huhuuuu.." rasa nak nangis.....

dah 46 hari...al-Fatihah Wan.....semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Wan...tempatkanlah roh Wan bersama hamba-hamba-Mu yang dijanjikan syurga...kurniakanlah syurga-Mu kepada Wan..dengan rahmat dan kasih sayang-Mu ya Allah....amin....

Monday, August 15, 2011

pada suatu hari....

Di kampung aku ketika itu...backhoe sedang meratakan satu kawasan untuk dibuat rumah...segala pokok-pokok ditumbangkan...bagi clear....abih semua pokok-pokok terbalik dan tercabut....

haaa...apa lagi....aku yang ketika tu berada di darjah dua, bersama-sama kawan aku, terus menjadikan kawasan tu port yang baikkk punyaaa.....

kami bermain berlari-lari dan berkejaran di atas batang pokok getah yang tumbang tu.....
sorang jadi buaya dok acah-acah dari bawah...yang lain dok mengelakkan diri meniti di atas.....punyala seronokkk!!!!!

tempat tersebut terletak di tengah jalan kampung antara kedai kopi ayah aku dan rumah. Setiap hari, ayah dan mak aku akan berulang alik melalui jalan tersebut menuju ke kedai kopi. Ayah aku akan ke kedai dengan basikal tuanya seawal pukul 6 pagi untuk menghidupkan dapur arang yang digunakan untuk menjerang air. Kalau aku ikut Wan, boleh hidu asap arang yang memenuhi kedai Wan. Kalau bau arang mesti aku teringat Wan di pagi hari di kedai kopinya.

Mak aku pula akan menyusul kemudian dengan membawa periuk gulai dalam plastik. Jalan kaki aje...ketika aku kecik-kecik sehingga umur 5 tahun, aku selalu suruh mak aku dukung ke kedai kopi..dahla mak aku kena bimbit plastik periuk gulai, nak kena dukung aku lagi!!! kadang-kadang mak ikat aku dengan kain dok kat belakang... bertuah punya budak kan...tapi mak memang selalu cakap aku adalah anak bertuah dia sampai aku besar heheee......kalau check balik...anak aku yang sulung pun macam tu jugak...erkkk......

oh sambung balik....

pada petang tu ketika kami sedang bermain di atas batang getah, aku yang nak melarikan diri daripada 'buaya' terus terjun ke bawah (ketinggian 2 meter kot), lepas tu ada sorang budak pompuan ni pun ikut sama terjun lalu terjatuh atas belakang aku...aku yang ketika itu masih dalam posisi mencangkung selepas landing sambil tangan menongkat tanah, terus tersembam sedikit.

tiba-tiba...aku nampak tangan kiri aku macam huruf Z je..bengkang bengkok...ayyooo.......tangan kiriku dah patahhhhh!!!!!!!!

mampus aku kali ni....series matii!!!!!!! dan aku pun menangis....bukan sakit pun tapi takuttt!!!! takut Wan marahhhh!!!!!!!

lalu aku duduk di atas dahan kayu sambil memegang tangan kiri sambil teresak-esak.....
tidak lama kemudian mak aku yang dalam perjalanan pulang ke rumah melihat kelibat kami....kami semua hanya mendiamkan diri....
mak tak nampak sebab jaraknya kira-kira 500 meter...lalu mak pulang sambil membimbit plastik periuk gulai yang dah kosong....

hahhh....camna nak buat ni...aku dan kawan-kawanku terus menuju ke kedai Wan....Wan ketika itu sudah siap mengunci pintu kedainya dan menolak basikal tuanya naik ke atas jalan mini....
lalu kuberitahu Wan tangan patah sebab jatuh pokok!!

kepannngggggg!!!!! dummm dammmmmm!!!!! ( bayangkan bunyi guruh berdentumm!!!)

nak terkeluar biji mata Wan....teruk aku kena marah...heeee takut gilaa!!! masih kuingat reaksi Wan yang sangat marah pada ketika itu....

lalu kami pun pulang ke rumah.....aku berjalan di belakang Wan yang menaiki basikalnya...

mak kepada budak pompuan yang terjun atas belakang aku tu rasa bersalah lalu dia membawa aku jumpa tok bomoh...alamakk...tok bomohhh???? bukan pilihan aku atau Wan, makcik tu yang bawa....kalau tanya aku sekarang, mesti la aku nak pegi spital...

setelah selesai tanganku dibalut ...maka jadilah aku handicapped kejap....

beberapa hari kemudian...di kedai kopi Wan....

aku sedang bermain dam (aji) dengan kawan aku.....tiba-tiba biji dam tu jatuh di celah-celah papan pelantar....lalu aku pun turun ke bawah untuk mengambilnya...maka aku pun merangkak...
tiba-tiba....krakkkkk........
haaaa...mati akuuuuu!!!!!! patah balikk!!!!

apa lagi kena marah lagi dengan Wan buat kali kedua....

lepas tu kira tak buat apa-apa treatment dah...tapi ia sembuh sendiri...mungkin sebab tulang masih lembut...

tapi kalau diamati betul-betul, lengan kiri aku tak sama dah allignment dia dengan lengan kanan...diorang panggil aku komeng!!!!

tu la kisahnya kira-kira 21 tahun lepas.....
walaupun kena marah, aku tetap rindukan saat-saat tu, sekarang Wan dah tak boleh marah aku lagi.....
sebab tu la bila mak bapak kita marah...sabar je lah...sebab suatu hari nanti kita akan merindui suaranya memarahi kita....

macam aku yang masih tidak pernah berhenti merindui Wan.....
Wan marah kerana sayang.....kalau tak sayang takkan dipedulikan kalau tangan nak tercabut ke, terkehel ke......

thanks Wan kerana memarahiku....al-fatiihah...dah 43 hari....
bila teringat Wan aku akan hadiahkan bacaan Al-Quran padanya...dan I will feel better....

Saturday, August 13, 2011

Balik kampungg!!!!

Ohh...bukannya aku balik Kelantan, tapi aku balik rumah ayah bonda mertua ni Kedah...
Budak-budak ni suka balik kampung, diorang suka main keliling rumah sampai comot..aku biarkan je...just let them enjoy...

Teringat aku ketika mula-mula ditinggalkan di rumah ni 6 tahun lalu...huhuuu nak nangis bila rombongan family aku tinggalkan aku sambil berpesan supaya jaga diri baik-baik...rasa macam mau lari ikut balik je nak tiru cerita hindustan...lorr...bukan kahwin paksa pun hehee...saja feeling terlebih...aku tak pernah sangka akan kahwin dengan orang Kedah...dah jodoh aku...kata Wan sebelum aku kahwin (tapi dah tau calonnya), bolehla dia kenal Pulau Langkawi nanti....rupa-rupanya tak sempat :( Wan tak pernah kenal pun rumah aku tak perlis, sebab dia dah mulai uzur tak larat jalan jauh.

Hubby kata aku selalu tak dengar bila dia cakap..masalahnya bukan aku tak dengar, tapi aku tak paham atau kurang paham!! Sampai sekarang pun aku kurang paham kalau kawan-kawan cakap slang utara cepat-cepat heheee...kadang-kadang aku tak paham apa pun bila mak mertua aku sembang, aku cuma angguk dan gelak-gelak aje..padahal aku tak paham apa benda pun heheee...
Slang utara ni pada pendapat aku dia bunyi dalam kerongkong aku susah nak catch up melainkan cakap slow-slow sikit..bukannya aku slow, tapi otak aku sedang proses, maklumlah..frekuensi lain, dan aku masih pakai amplitude modulation.

Pernah sekali hubby aku tolong masak kat dapur, dia mintak aku tolong ambikkan "daging"...lalu aku hulurkan le daging dari dalam freezer, "Laaa....bukan daging....udang kering!" lor....."abis tu kenapa cakap bunyi yang hujung-hujung je, cuba cakap bagi terang"..protesku sebab yang aku dengar adalah "dang ...rging"..bukan daging ke ?hehee

Kalau "bancuh ayaq" yang aku dengar hanya "cuh yak" je aduuuu patutla aku tak paham-paham! :)

Aku menantu pompuan tunggal sebab hubby aku anak laki tunggal...so takdela persaingan hehee...kalau ada biras perempuan abihla aku, dahla aku tak pandai buat biskut raya hehee....ada masalah kawin dengan anak laki tunggal? Nope, no problem sebab aku jenis tak kisah, dan mertua aku pun ok dan ipar duai pun ok...rezeki aku la...syukur...bila hubby ajak balik kampung, aku imagine kalau anak lelaki Wan balik bersama family, mesti dia suka...so kena la ikhlas...kadang-kadang ada juga bila aku rasa malas, tapi bila dah balik sini aku enjoy je sebab aku suka makann!!!!....bila balik sini boleh makan sedap-sedap hehee....dan juga boleh lepak-lepak kat tepi laut di Tanjung Dawai yang jaraknya cuma 5 minit perjalanan.

Tadi bapa mertua aku baru balik dari masjid bawa gulai daging dan makanan dalam plastik. Aku yang tengah blogging ni terus bingkas bangun mengambil lauk pauk tadi lalu panaskan dalam kuali..eceeee....mithali gila kihkihkih....sebab kalau kat rumah mak aku masa aku bujang-bujang dulu, selalunya tak sempat aku ambik, mak aku ambik dulu hehee....bertuah punya anak...
hahaa....nak tau apa pesan mak aku kat hubby lepas aku dikahwinkan? "Dia ni manja sikit.." ayyoooo ammaa.......anakmu dah boleh berdikari dah sekarang...tak caya??

Walau apa pun...aku bersyukur atas segala yang aku terima dan aku tempuhi...Alhamdulillah this is the best for me, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk aku....

oklah nak tido, hari ni genap 40 hari Wan pergi..al-Fatihah....adakah aku dah kurang merindui Wan? oh tidak...aku masih mengingati Wan setiap masa..cuma aku sedang belajar supaya jangan terlalu melayan perasaan....cuma beberapa hari lepas aku saja cari pasal dengar lagu raya yang sedih-sedih sambil tengok gambar Wan, akibatnya air mata berjuraian..cari pasal la tu dengar lagu sedih...