Tuesday, January 17, 2012

surat lama yang mengimbau....

Oleh kerana aku telah mengambil EL pada hari Isnin lepas, maka aku kena membuat surat yang menyatakan sebab musabab mengapa aku mengambil EL tersebut. Sambil-sambil dok tengok surat-surat lama dalam laptop aku ni, aku terjumpa surat EL yang aku ambil pada tahun 2010. Masa tu Wan masih ada, dan aku pulang untuk menjenguknya yang sakit. Waktu itu jugalah adalah kali pertama aku tinggalkan anak-anak dan balik kampung seorang diri dengan menaiki bas. Oleh kerana aku dah tak ada cuti, maka aku mintak unpaid leave.

Masa tu, selepas sakit Wan sembuh balik. Dan seperti selalu, ia merupakan saat yang mendebarkan bila Wan atau mak sakit dan harapan untuk sembuh sentiasa ada. Tapi 6 bulan kemudian, harapan untuk pulih sudah tiada lagi. Bila alat bantuan pernafasan ditanggalkan, that was the scariest part. Wan sudah sangat kritikal masa tu, kami terpaksa melepaskannya pergi, dan bayangan di mana Wan terpaksa bernafas sendiri selepas alat itu ditanggalkan membuatkan air mataku mengalir. He wasn't able to breath on his own, he had to struggle on his own, painful, and till his last breath. Sad......but true...

Pagi tadi masa aku buka facebook, mantan ajk kelab yang pernah aku sertai di UKM telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi untuk merawat barah paru-paru tahap 3. Sebelum itu dia dimasukkan ke wad Bendahara tingkat 4. Wad yang sama yang mengimbau kenangan aku menjaga Wan di hujung hayatnya. Wad bendahara tu kiranya kes berat juga. Lebih-lebih lagi bila duduk depan meja misi. Kat situ semuanya kes sakit paru-paru. Mantan ajk tersebut asalnya hanya batuk-batuk, bila check terus dapat tahu kanser tahap 3!! Boleh anda bayangkan???

Dan aku dapat bayangkan bagaimana dia menderita tidak dapat bernafas, sebab aku dah tengok bagaimana Wan menghadapinya. Remuk hati aku. Batuk siang malam dan tidak dapat tidur selama berminggu-minggu. Aku yang bila selsema teruk pun masih boleh bernafas melalui mulut, inikan pula paru-paru yang memang dah tak boleh serap oksigen. Seksa! Itu saja yang mampu kuungkapkan.

Tahun 2010 juga aku kehilangan bekas rakan sepejabat di sini. Usianya masih muda. Lebih muda daripada aku. Juga mengidap kanser paru-paru. Masih kuingat ketika melawatnya di hospital. Terdapat sebalang air yang keluar daripada paru-parunya melalui lubang yang ditebuk di dadanya. Bila dia makan rojak yang diminta kami membelinya, nampak seksa sekali dia mahu menelannya. Begitu juga bila dia mahu meneguk air jagung kegemarannya. Sambil menahan kesakitan, dia meneguk air tersebut. Dia merupakan satu-satunya harapan keluarganya yang merupakan orang susah. Ibu bapanya merupakan penoreh getah, dengan rumah yang usang di pinggir ladang getah. Dia merupakan satu-satunya anak yang dapat masuk ke universiti. Dia berhenti kerja di sini setelah mendapat tawaran mengikuti Diploma Perguruan Lepasan Ijazah. Masih kuingat wajahnya yang keriangan bila mendapat tahu berita tersebut. Katanya, begitu susah sekali untuk dia mendapat peluang tersebut. Sudah banyak kali dipohon dan akhirnya entah kali keberapa, baru berjaya. Niatnya untuk membantu keluarga.

Tapi siapa sangka, setelah tamat pengajian tersebut dan semasa menunggu posting, Allah mengambilnya pergi. Allah Maha Mengetahui di sebalik rencanaNya.

Andai dengan segala derita ini Engkau ingin menghapuskan segala dosa-dosaku, alangkah ringannya penderitaan ini. Andai dengan derita ini Engkau ingin selamatkan aku dari neraka-Mu dan memasukkan aku kedalam syurga-Mu yang kekal abadi..alangkah indahnya penderitaan ini

No comments:

Post a Comment