Thursday, July 21, 2011

Wan part 4.....

sambungan bahagian 3:

Ketika berjumpa dengan kawan Wan yang juga merupakan seorang penjual daging di Golok, Wan telah diberi peringatan oleh peniaga berkenaan bahawa ada orang mahu tembak Wan. Katanya lagi, yang mengugut tu bukan orang lain, tapi musuh dalam selimut. Orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerani Po.

Kerani Po telah merancang suatu rancangan jahat agar Wan dan keluarga lari balik ke Kelantan. Ugutan pertama diterima apabila Wan menjumpai beberapa biji peluru hidup dalam mangkuk susu getah namun Wan tidak gentar dan meneruskan kerja-kerjanya di ladang getah seperti biasa.

Ugutan yang kedua pula berlaku ketika Wan dan anak-anaknya sedang tidur di tingkat atas rumah kongsi. Penembak upahan telah memanjat pokok rambai berhampiran lalu melepaskan tembakan bertubi-tubi mengenai bumbung rumah sehingga berlubang menampakkan langit. Ketika itu kata abang aku yang berusia 7 tahun ketika itu, Wan sambil meniarap telah memegang anak-anak dan mak di atas lantai agar tidak terkena tembakan rambang tersebut. Ketika tembakan reda, kedengaran suara daripada luar menjerit "Mat...jangan keluar mat!!"....memberikan amaran kepada Wan supaya jangan keluar kerana penembak masih berada di luar. Kata abang aku, sejengkal lagi nak kena kepala. Memang mereka berniat mahu membunuh Wan dan keluarga. Ugutan tembak berlaku sebanyak dua kali. Setelah dua kali tembak barulah Wan tekad untuk pulang ke Tanah Melayu, itupun kerana mak yang ugut mahu pulang seorang kalau Wan masih berkeras mahu tinggal di Golok. Akhirnya Wan akur. Ketika pulang ke Kelantan, mak aku sedang mengandungkan kakak N iaitu anak yang ke 5. Keempat-empat orang abang dan kakakku dilahirkan di sana cuma 2 orang kakak dan abangku dihantar bersekolah di Kelantan. Mereka tinggal di rumah dua pupu Wan yang dikenali sebagai Pakcu Lah. Apabila cuti sekolah mereka akan kembali ke Golok.

Ketika mahu pulang ke Kelantan, motor yang Wan gunakan di sana dijual, basikal skuter diberi kepada orang, ayam-ayam pun tinggal bagi kepada orang. (Jangan tak tahu Wan ada membela seekor beruang di Golok!) Dengan berbekalkan duit sebanyak RM600, Wan dan keluarganya pulang ke Kelantan dengan menyeberangi Sungai Golok. Antara barang yang diangkut menyeberangi Sungai Golok termasuklah mesin jahit antik ni.


Ia masih ada lagi di rumah mak dan masih boleh digunakan. Berat tau mesin jahit ni! Lalu pulanglah Wan ke Tanah Melayu gara-gara perasaan tamak haloba dan dengki kerani bernama Po. Wan bersama keluarganya berada di Thailand dari tahun 1959 sehingga pertengahan tahun 1966. Tempoh ini dikira setelah Wan berkahwin dengan mak. Telah diceritakan sebelum ini bahawa memang Wan bekerja di Thailand sejak kecil lagi.

Apabila pulang ke Kelantan, Tok Bohong datang mencari Wan di rumah dengan menaiki beca. Ketika itu jalan di depan rumah masih lagi tanah merah kering. Tok Bohong telah memujuk Wan agar kembali bekerja dengannya di Golok. Sambil menangis-nangis dia merayu Wan agar kembali bekerja dengannya, dia sangat sayangkan Wan. Tapi keputusan muktamad telah dibuat demi nyawa anak bini, iaitu Wan takkan kembali lagi ke Golok walaupun gajinya lumayan pada ketika itu. Lalu Wan mengeluarkan buku catatan yang merekodkan bukti penyelewengan Po kepada Tok Bohong. Tahulah Tok Bohong bahawa selama ini kerani Po merupakan duri dalam daging yang telah menyonglap hasil getah di kebunnya sejak bertahun-tahun lamanya. Kata Tok Bohong, "Mari Mat..kita pergi tembak dia! " sambil menangis-nangis. Seperti yang dikatakan tadi...Wan takkan kembali ke Golok...

Di Kelantan, dengan duit yang berbaki sebanyak RM600 tadi serta setelah digadai segala barang kemas mak, maka Wan telah membina sebuah bangsal kecil sebagai tempat berteduh mereka 6 beranak. Bangsal tersebut berbentuk segiempat tepat dan hanya mempunyai satu bilik sahaja. Untuk membina bangsal itu, 6,7 ratus ringgit telah digunakan.

Maka bermulalah episod kehidupan yang sangat sukar dan miskin yang telah dilalui Wan dan keluarganya.....kata abang aku "kehidupan pada masa tu (1968 ke atas) adalah terrrsangatla miskin nak mampos!!"...daripada gaji Wan RM250...Wan mendapat gaji RM 3 sahaja sehari!!!

to be continued....(part 4 (reversed) : Wan ada pistol, senapang ala-ala cowboy!!!-soon)



No comments:

Post a Comment